Sunday, January 29, 2012

Ayam Mentega Rangup

Dah berhari2 rasanya menu ni tertangguh sejak terpandang resepi ni dekat blog Kak CT hari tu.  Padahal bahan2nya semua sedia ada di rumah.  Pagi semalam dah elok2 keluarkan ayam dari peti sejuk, tiba2 che abang ajak berjalan2 naik tren ETS pulak ... saja nak merasa naik tren baru tu.  Disebabkan nak berjalan, dah tak jadi memasak ...simpan la balik ayam tu.  Hari ni memang tak ada plan nak kemana-mana. Jadi, lepas balik daripada Pasar Borong Selayang tadi, saya pon mulakan la operasi menyediakan Ayam Mentega Rangup ni. Biasa yang kita dengar udang goreng butter je kan?. Rupanya2 ayam pon sedap jugak kalau dibuat goreng butter. Wangi sungguh baunya. Nak pulak ayam yang digoreng tu bahagian isi je, rangup pulak tu. Apa lagi ..... laju aje la makan tadi. Sampai che abang cakap .... "udah2 la tu, simpan untuk malam pulak". Opsssss.... tak sedar pulak .... hehehe ....

Bagi yang nak mencuba Resepi Ayam Mentega Rangup ni, boleh rujuk resepi ni dari blog Kak CT. Cantik betul gambar2 masakan dalam blog Kak CT ni... semuanya nampak sungguh menyelerakan. TQ kepada Kak CT dan jugak kepada tuan empunya resepi asal iaitu Diana @ Melly Mey kerana berkongsi resepi yang sedap dan mudah ni. Dekat blog Diana siap ada gambar step by step lagi cara2 nak masak ayam mentega rangup ni. Mudah sangat nak faham. Terima kasih ye, saya mintak izin berkongsi resepi di sini ...


AYAM MENTEGA RANGUP
Sumber : Kak CT

BAHAN2 :
2 keping dada ayam - dihiris
2 tangkai daun kari - dihiris
4 biji cili padi - dicincang
60 gm mentega (boleh ditambah jika nak kuahnya bersalut banyak kat ayam)
1/2 biji bawang besar - dicincang
Tepung jagung secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Sedikit gula (Kak CT guna madu)

BAHAN2 PERAPAN :
1/2 tsp perencah pati ayam Tumix (saya guna Kiub Ayam Maggi)
2 tsp gula
1 biji telur
1 tbsp tepung jagung
1/2 tsp serbuk lada hitam
1/2 tsp serbuk lada putih
Garam secukup rasa
 
CARA2NYA :
1.Ayam digaul bersama bahan2 perapan. Perapkan selama 20 minit.
2.Salutkan ayam dengan tepung jagung. Goreng sehingga garing, angkat & ketepikan.
3.Cairkan mentega. Masukkan bawang besar, daun kari & cili padi. Tumis sehingga naik bau.
4.Kemudian masukkan ayam dan gula (atau madu). Kacau sebati.
5.Angkat dan siap untuk dihidang.
 
 
 

Thursday, January 26, 2012

Caramel Cheese Pudding

Fuhhhh ... sampai dah naik berabuk dah blog ni ... punya la lama tak update kan?.  Itu lah ... bila orang lain berblog, saya pon nak berblog.  Tapi, orang lain boleh kata hari2 update tapi saya ? hehe ;-P. Sebab tu lah saya sangat respek dengan blogger2 hebat di luar sana terutamanya blogger masak-memasak macam Pakcik Mat Gebu dari Dapur Tanpa Sempadan, Kak Ida dari 1001 Resepi, Kak Ita dari Masam Manis dan ramai lagi blogger yang seangkatan dengan mereka. Setelah mencuba sendiri baru saya tahu, bukan sedikit usaha dan komitmen yang perlu diberikan untuk menulis sebuah blog masakan. Dari nak menyediakan masakan, mengambil dan mengedit gambar hinggalah nak menulis entri, memang banyak juga lah masa yang perlu dikorbankan.


Pagi tadi saya menjenguk ke dapur Kak Ita. Aduhhh ... terus jatuh hati bila tengok gambar Caramel Cheese Pudding Kak Ita yang cantik tu. Nampak sedaaaaappppp sangattttt. Tak boleh tahan la. Tanpa berfikir panjang petang tadi saya ke Tesco mencari bahan2. Nak buat jugak2 puding tu hari ni ;-).

Alhamdulillah, tercapai la jugak hajat di hati nak makan puding Kak Ita ni. Walaupon paras rupanya tak secantik yang dibuat Kak Ita, tapi.... rasanya memang sangat Wowwww !!!. Bayangkan la ... puding karamel yang biasa tu pon dah memang sedap kan ?? ... ini ditambah pulak dengan cream cheese ...aduhhhh .... kecur air liur dibuatnya. Memang sangatlah berbaloi mencuba resepi ni. Tq Kak Ita, tq jugak pada Yani tuan empunya resepi yang mabelesss ni. Jom kita ramai2 cuba resepi yang saya kopipes dari blog Kak Ita ni ...

CARAMEL  CHEESE PUDDING
Oleh : Azlita Aziz 
Resepi Asal : Yani (My Resepi)

BAHAN2 :
[ Karamel ]
70g gula
2 sudu kecil air
2 sudu besar air suam
[ Puding ]
180g cream cheese

70g gula pasir
1 biji telur kuning
3 biji telur
450g susu segar
1 sudu besar jus lemon 

CARA2NYA :

Sediakan karamel 
Panaskan gula dengan 2 sudu kecil air sehingga perang. 
Kemudian masukkan 2 sudu besar air suam. 
Tuangkan ke dalam loyang yang sesuai.

Pukul cream cheese dgn gula sehingga sebati. 
Kemudian masukkan kuning telur diikuti dengan telur lain sebiji demi sebiji sambil dipukul sehingga sebati. ( Tak perlu kembang) 

Panaskan susu sehingga hampir mendidih. 
Kemudian tuang ke dalam no.2 tadi. Kacau sekata.
Tuangkan adunan puding ke dalam loyang yang ada karamel tadi.
Alaskan loyang dengan bekas lain yang berisi air. 
Bakar dengan suhu 160 celcius selama 40-45 minit.
Sejukkan sebelum dihidang.



Sunday, January 8, 2012

Mutton Biryani Masala & Tandoori Chicken Masala

Hari ni awal2 pagi lagi saya dah bangun untuk menyediakan juadah makan tengahari sambil2 bersarapan pagi. Menu untuk sarapan pagi hari ni yang simple2 saja. Untuk en. husband saya gorengkan nasi lebih malam semalam dan saya sendiri hanya makan strawberry yogurt je ... ermmmm ada percaya ??? ... percaya lah ... memang semata2 yogurt ;-).

Untuk lunch hari ini saya masak menu ala2 Delhi ;-)... Mutton Biryani Masala atau cakap melayunya Beriani Kambing Masala :-). Bukan itu saja, saya gandingkan jugak dengan Tandoori Chicken Masala. Sebab tu lah saya kena prepare lebih awal sebab nak masak ayam tandoori, ayamnya mesti diperap at least dua jam sebelum dipanggang, baru rempahnya cukup mesra dan daging ayam lebih sedap.


Untuk menyediakan kedua2 menu ni bukan lah payah pon. Senang sesangat. Sebabnya saya guna rempah ready made, baik untuk nasi beriani mahupon ayam tandoori. Rempahnya betul2 original India mari. Saya guna rempah Aachi Biryani Masala dan Everest Tandoori Chicken Masala. Saya tak sure rempah ni ada dijual di Malaysia atau tidak ... yang saya guna ni datangnya dari Singapore. Memang mudah dan puas hati guna rempah ni. Memang sedap. Untuk beras pulak, saya guna beras basmathi jenama Tilda. Memang cantik sangat berasnya, panjang2.


Nasi beriani masala ni rasanya ada sedikit membara sebab dia berempah. Belum pernah lagi saya makan nasi beriani yang terasa pedas kat Malaysia ni. Rasanya kalau makan macam tu saja pon dah cukup sebab nasinya dah cukup rasa dan ada lauk di dalamnya. Rempah untuk tandoori masala ni pon sedap. Memang sangat ngam untuk dimakan dengan nasi beriani tu. Nak pulak diperah sikit dengan asam limau masa nak makan tu ... memang terangkat ;-). Untuk masak nasi beriani dan ayam tandoori ni saya cuba seboleh mungkin untuk ikut resepi yang disediakan di kotak rempah tu. Tapi ada la jugak yang saya tambah sket2 ikut citarasa dan apa yang ada di rumah saya.

MUTTON BIRYANI MASALA

BAHAN2 :
2 cawan / 260 gram beras basmathi (direndam terlebih dahulu selama 30 minit dan ditoskan)
3 1/2 cawan air rebusan daging kambing (kurangkan atau tambah ikut jenis beras)
2 biji bawang besar (dicincang)
4 ulas bawang putih (dicincang)
2 cm halia (dicincang)
1 biji tomato (dipotong kecil/dadu)
2 sudu besar plain yogurt
1 sudu kecil jus lemon (saya guna limau nipis je)
15 gram rempah biryani masala (dijadikan pes dengan sedikit air)
200 gram daging kambing (boleh tukar daging lembu atau ayam)
Daun ketumbar secukupnya (dihiris)
Garam secukup rasa
Minyak sapi ditambah sedikit minyak masak secukupnya.

CARA2NYA :
1. Rendamkan beras basmathi selama 30 minit. Toskan.
2. Panaskan minyak, tumis bahan2 yang dicincang (bawang, bawang putih, halia) hingga wangi.
3. Masukkan tomato dan rempah biryani. Kacau sebentar.
4. Masukkan daging kambing. Kacau sebentar supaya mesra.
5. Masukkan yogurt dan jus limau. 
6. Masukkan air rebusan daging dan garam secukup rasa. Biarkan ia mendidih.
7. Masukkan beras basmathi dan daun ketumbar dan biarkan hingga masak.



TANDOORI CHICKEN MASALA

BAHAN2 :
2 ketul peha ayam (dikelar sedikit)
1 biji bawang besar (ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 cm halia (ditumbuk)
2 sudu besar rempah ayam tandoori
1 sudu besar plain yogurt
Garam secukup rasa
Limau nipis (untuk diperah semasa menghidang)

CARA2NYA :
1. Satukan semua bahan perapan dan gaulkan pada ayam hingga sebati.
2. Perap ayam di dalam peti sejuk sekurang2nya 2 jam.
3. Panaskan oven, sapukan mentega pada dulang untuk menbakar.
4. Atur ayam di atas dulang, letakkan beberapa cubit mentega di atas ayam.
5. Panggang selama 25 minit atau sehingga masak.
6. Setelah ayam masak dan dikeluarkan darioven, tutup sebentar dulang dengan aluminium foil.  Biarkan seketika dalam 5 - 10 minit.
7. Sedia untuk dihidang dengan hirisan  limau nipis dan salad kesukaan anda.


Saturday, January 7, 2012

Rendang Lokan


Pernah makan lokan tak ? Malam ni saya masak rendang lokan. Kebetulan siang tadi saya ikut en. husband balik ke Port Dickson. Dapat la gantung periuk kejap ;-P. Selalunya kalau ke Port Dickson husband saya memang akan ikut jalan dalam, ikut Sepang. Masa otw balik ke KL tadi, kami singgah sekejap kat tepi jalan untuk beli lokan ni. Kawasan Sepang dan Pantai Bagan Lalang memang selalu ada jual lokan. Sekilo harganya RM2.50 je. Husband saya tadi beli 4 kilo. 4 kilo ni apalah sangat ... bak kata husband saya ... timbang batu je ... berat dek cengkerangnya tu aje ha.


Sampai je rumah tadi dah dekat nak maghrib. En. husband pon tanpa berlengah2 tolong la kopekkan lokan ni. Nak bagi senang kena direndam dalam air panas dulu. Selalunya ini memang kerja dia lah ... saya tukang masak je :-p. Saya memang tak biasa pon makan lokan ni. Dah kawin baru la belajar makan. Kalau en. husband tu lain la, dia memang membesar dengan lokan ni. Dari kecik lagi dia dah biasa mengutip lokan. Katanya, dulu bila musim raya, rendang lokan ni memang menjadi juadah istimewa kat kampung dia. Kalau pagi raya selalunya rendang lokan ni la yang akan dicari orang dulu.

ini je banyaknya 4 kilo tadi ....

Untuk rendang lokan ni cara masaknya sama je macam rendang2 biasa. Tadi saya masak ikut apa yang ada kat umah je asalkan menjadi rendang. Rendang lokan ni lebih kurang macam rendang kerang cuma isi lokan ni lebih besar dan kenyal dari kerang. Rasanya ?? ... kalau ikutkan tekak saya, rasanya memang macam kerang tapi .... isinya liat sikit. Nak kena kunyah macam daging. Kata en. husband, memang macam tu, liat2 sikit. Saya tanya dia, "kalau kita rebus dulu dalam pressure cooker jadi lembut tak ?". ... dia kata dia pon tak terpikir ... haha. Ye la .... orang dulu2 mana la ada pakai pressure2 cooker ni. Hmmmm .... next time nak cuba tengok camane kejadiannya kalau dimasak dalam pressure cooker dulu :-P



RENDANG LOKAN

BAHAN2 :
4 kilo lokan (direndam air panas dan diambil isi & airnya)
2 biji bawang besar  + 4 ulas bawang putih (dikisar)
2 sudu besar cili padi yang dikisar
4 sudu besar cili kering yang dikisar
2 inci kunyit hidup (dikisar)
2 biji bawang besar (dihiris)
4 ulas bawang putih (dihiris)
5 hiris halia 
1 batang serai (dihiris)
1 helai daun kunyit (dihiris halus)
2 sudu besar kerisik (yang ni tak bubuh pon tadi, takde stok)
1 kotak santan (kali ni saya pakai yang kotak je, kalau dapat yang fresh lagi ok)
1/2 keping asam keping
+-2 sudu besar gula merah/melaka
garam secukup rasa

CARA2NYA:
1. Lokan direndam dalam air panas sebentar, dikopek dan diambil isi dan airnya.
2. Tumiskan bahan2 yang dikisar (bawang besar + bawang putih + cili padi  + cili kering + kunyit hidup). Selalunya kalau pakai santan segar saya tak tumis, tapi kalau pakai santan kotak saya tumis sikit supaya rendangnya nanti pecah minyak.
3. Masukkan lokan + garam + gula merah  Kacau sebentar
4. Masukkan santan + kerisik + bawang besar, bawang putih dan halia yang dihiris + asam keping + serai + daun kunyit.
5. Kacau hingga kering dan pecah minyak. Siap dihidang dengan nasi atau roti.